BAB 1- PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

OBJEKTIF AM :

Membolehkan pelajar lebih memahami konsep usahawan dan keusahawanan.

Objektif Khusus : Di akhir unit ini, pelajar akan dapat :

 Menjelaskan definisi usahawan dan keusahawanan.
 Membezakan konsep usahawan dan peniaga.
 Mengenalpasti dan menjelaskan kompetensi usahawan berjaya.


1.0 PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

Malaysia menuju ke arah negara perindustrian menjelang tahun 2020 di mana sektor perniagaan dijangka bertambah penting. Ia bukan sahaja merupakan sektor sokongan tetapi lebih ke arah menyediakan asas dan teknologi bagi memastikan kejayaan pembangunan perusahaan yang lebih besar.

1.1 DEFINISI USAHAWAN.

Perkataan usahawan mula diperkenalkan dalam tahun 1970 iaitu semasa pelancaran Dasar Ekonomi Baru. Ianya bukanlah satu perkara yang baru kepada kita. Pada masa zaman Melayu Melaka, mereka yang melibatkan diri dalam bidang perniagaan dipanggil sebagaipedagangmanakala pada tahun 1900an mereka dikenali sebagai peniaga.
Perkataan usahawan mempunyai erti yang sama dengan perkataan Inggeris ‘entrepreneur’. Perkataan ‘entrepreneur’ berasal dari perkataan Perancis, ‘entreprendre’ yang bererti memikul tugas atau tanggungjawab. Perkataan ‘entrepreneur’ telah digunakan semenjak tahun 1775 oleh Richard Cantillon yang merujuk kepada kegiatan dalam keusahawanan.
Banyak kajian telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan beberapa pengertian kepada perkataan usahawan telah diberikan seperti berikut:-

1. Kamus Dewan Edisi Baru mentakrifkan usahawan sebagai orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan iaitu pengusaha. Pengusaha dimaksudkan sebagai pekerjaan secara besar-besaran untuk membuat barang-barang industri atau pekerjaan berniaga secara besar-besaran.

2. The Encyclopedia Americana International Edition memberi maksud usahawan sebagai ahli perniagaan yang mengambil risiko menggabungkan faktor pengeluaran termasuk modal, buruh, bahan dan menerima ganjaran melalui keuntungan daripada nilai pasaran barangannya.

3. Joseph A.Schumpeter, seorang ahli ekonomi menyatakan usahawan adalah seorang inovator yang boleh mengakibatkan kepada suatu pembaharuan.

4. Webster’s Third New International Dictionary pula mentakrifkan usahawan sebagai orang yang mengurus suatu kegiatan ekonomi terutamanya mengelola, memiliki, mengurus dan menanggung risiko sesuatu perniagaan.

5. Carland (1984) mendefinisikan usahawan sebagai individu yang menubuhkan perniagaan dan menguruskannya untuk mendapatkan untung dan untuk terus berkembang.

Secara kesimpulannya, boleh kita nyatakan bahawa usahawan adalah seorang yang mengambil risiko memulakan atau menubuhkan sesuatu perniagaan atau perusahaan dan mengusahakannya. Seseorang yang telah memulakan perniagaan atau telah membeli perniagaan yang dimulakan oleh orang lain juga dikenali sebagai usahawan. Usahawan juga adalah seorang pengurus yang menerajui perniagaannya dan dapat menuntut hak keempunyaan ke atas perniagaan tersebut. Oleh itu ia menanggung risiko perniagaan. Usahawan mempunyai wawasan dan mengembangkan perniagaan untuk kemakmuran masyarakat. Ia adalah seseorang yang inginkan kebebasan dalam perniagaan, membuat keputusan sendiri dan seterusnya ingin berjaya atas usaha sendiri.

1.2 DEFINISI KEUSAHAWANAN

Keusahawanan adalah di antara perkara yang terpenting kepada individu, keluarga, pembangunan masyarakat, pembangunan negara serta agama. Ianya merupakan satu bidang ilmu yang merangkumi unsur-unsur sikap, kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan dengan perniagaan dan perusahaan.

Sikap Kemahiran Keusahawanan adalah di antara perkara yang terpenting kepada individu, keluarga, pembangunan masyarakat, pembangunan negara serta agama. Ianya merupakan satu bidang ilmu yang merangkumi unsur-unsur sikap, kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan dengan perniagaan dan perusahaan (Jadual 1.1).

Mengikut Yep Putih (1989), keusahawanan dikatakan sebagai satu kebolehan, kemampuan, dan kecenderungan untuk melakukan perkara-perkara berikut :-

•Mengenalpasti peluang perniagaan
•Mengendalikan usaha perniagaan yang menguntungkan dirinya sendiri dan orang ramai.
•Mendapatkan kejayaan melalui usaha-usaha yang dapat memenuhi keperluan orang ramai.
•Mendapatkan kekayaan dengan cara berusaha memenuhi keperluan masyarakat.
•Mengambil risiko yang telah diperhitungkan (calculated risk)
•Mentadbir dan menggunakan faktor-faktor pengeluaran bagi menghasilkan pembangunan ekonomi dan
kebajikan sosial.
•Sentiasa berusaha dan bersedia untuk membuat pembaharuan yang boleh meningkatkan daya pengeluaran dari masa ke semasa.

Secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa keusahawanan sebagai kualiti manusia yang bukan sahaja mendatangkan faedah kepada dirinya sendiri tetapi ia dapat membangunkan ekonomi dengan pesat serta memberi sumbangan kepada orang lain. Ia merupakan proses mewujudkan dan mengurus perniagaan untuk mencapai objektif yang dihajati.