BAB 6- RANCANGAN PERNIAGAAN

Objektif Am :
Membolehkan pelajar mengetahui perlaksanaan dan kawalan perniagaan serta penyediaan Rancangan
Perniagaan.

Objektif Khusus : Di akhir unit ini, pelajar akan dapat :

 Menjelaskan maksud Rancangan Perniagaan.
 Mengenalpasti kepentingan Rancangan Perniagaan.
 Menjelaskan ciri-ciri Rancangan Perniagaan yang baik.

6.0 Pengenalan

Cuba baca dan teliti maklumat yang dibentangkan di bawah ini;

Apabila Pengarah Urusan sebuah syarikat perisian komputer baru di Bandaraya Ipoh mengunjungi seorang juru bank untuk memohon pembiayaan modal sebanyak RM500 000, ia menyerahkan Rancangan Perniagaan syarikatnya untuk diteliti oleh juru bank tersebut. Dalam satu keadaan yang lain pula, semasa pengerusi sebuah kilang kad plastik ingin membentuk satu set matlamat lima tahun untuk syarikatnya, dia telah terlebih dahulu merujuk kepada ramalan kedudukan kewangan dalam Rancangan Perniagaan syarikatnya dan dalam keadaan yang ketiga pula, sebelum pasukan pengurusan sebuah syarikat dari Pulau Pinang cuba menarik minat pelabur asing menanam modal dalam projek perniagaan mereka, mereka telah memastikan bahawa Rancangan Perniagaan yang bakal ditunjukkan kepada bakal pelabur ini adalah yang terbaik.

Dalam ketiga-tiga keadaan di atas, pihak-pihak yang mewakili perniagaan masing-masing sedar akan kepentingan Rancangan Perniagaan dalam usaha mencapai sesuatu tujuan samada untuk mendapatkan pembiayaan modal, menetapkan matlamat perniagaan atau untuk menarik minat pelabur-pelabur menanam modal untuk projek perniagaan


6.1 MAKSUD RANCANGAN PERNIAGAAN

Rancangan Perniagaan adalah satu dokumen bertulis di antara 25 hingga 40 muka surat yang menerangkan tentang:
• Perniagaan atau projek yang akan dijalankan; hala tuju perniagaan dan bagaimana ia akan berkembang secara menyeluruh
• Kajian-kajian yang telah dibuat dan langkah-langkah yang akan diambil pada masa hadapan untuk membangunkan perniagaan serta
• Ramalan-ramalan, jangkaan-jangkaan dan cara perlaksanaan strategi
perniagaan.

Sesetengah pihak menggunakan nama-nama lain untuk Rancangan Perniagaan. Di antaranya adalah pelan induk perniagaan, kertas kerja, kertas projek atau prospektus. Rancangan Perniagaan merupakan peta yang akan menentukan arah tuju syarikat dan strategi bagaimana kejayaan dicapai oleh usahawan.