BAB 4- SUMBER DAN PROSES

OBJEKTIF AM :
Membolehkan pelajar mengetahui kaedah yang sistematik bagi mendapatkan idea yang kreatif serta memilih perniagaan yang sesuai.




OBJEKTIF KHUSUS : Di akhir unit ini, pelajar akan dapat :

 Mengenalpasti sumber-sumber idea perniagaan:

 Mengenalpasti proses untuk menjana dan mengenalpasti idea perniagaan


4.1 Pengenalan


Unit ini membincang sumber idea untuk suatu perniagaan dan proses menjana, dan mengenalpasti idea perniagaan.

Tahukah anda bagaimana kita boleh dapatkan idea perniagaan?
Sebelum suatu perniagaan beroperasi, pemilik perlu menentukan apakah produk atau perkhidmatan yang akan dijual kepada pelanggan. Tanpa ada tawaran produk atau perkhidmatan, perniagaan tidak mungkin wujud. Produk atau perkhidmatan yang telah dipilih ini adalah idea perniagaan.

Andaikan anda seorang bakal usahawan. Cuba jawab soalan-soalan berikut:
• Apakah produk atau perkhidmatan yang hendak dijual kepada pelanggan?
• Adakah produk atau perkhidmatan ini boleh mendatangkan keuntungan?

Jika anda ingin menjadi seorang usahawan, anda hendaklah sentiasa berwaspada terhadap produk-produk dan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan. Setiap orang yang menceburi bidang perniagaan pasti inginkan keuntungan. Oleh itu, setiap bakal usahawan mestilah dapat mengenalpasti dan memilih idea perniagaan yang mampu mencapai hasrat ini, iaitu mendapat keuntungan.


4.2 Sumber idea perniagaan

Sebenarnya idea perniagaan boleh didapati dari pelbagai sumber dan boleh lahir pada bila-bila masa. Ada orang mendapat idea secara tidak dirancang seperti semasa membaca surat khabar atau majalah. Ada yang mendapat idea semasa melakukan hobi, contohnya semasa berkebun, melancong, berbual, dan sebagainya. Walau bagaimanapun idea perniagaan boleh juga didapati melalui usaha-usaha yang sistematik seperti mendapatkan maklumat daripada sumber primer dan sumber sekunder.


4.2.1 Sumber primer


Sumber primer adalah maklumat yang diperolehi melalui tinjauan untuk sesuatu tujuan tertentu. Suatu tinjauan dibuat dengan mengumpul maklumat daripada sejumlah responden yang dipilih dan kemudian merumuskan jawapan-jawapan yang diterima daripada responden ini.

Tinjauan boleh dijalankan secara formal dan tak formal. Contoh tinjauan yang formal adalah menemubual sejumlah penduduk di sesuatu kawasan. Tinjauan boleh juga dilakukan dengan mendapatkan orang ramai menjawab soalselidik berhubung dengan sesuatu perkara. Melalui tinjauan sedemikian, seseorang mungkin memperolehi maklumat tentang peluang memulakan satu perusahaan baru di kawasan yang ditinjau.

Maklumat daripada tinjauan yang tak formal diperolehi dengan lebih mudah jika dibandingkan dengan tinjauan formal. Sebagai contoh, idea perniagaan boleh ditinjau melalui perbualan dengan rakan atau ahli keluarga.


4.2.2 Sumber sekunder

Sumber sekunder terdiri daripada maklumat yang diperolehi daripada sumber yang sedia ada akibat daripada lain-lain tinjauan atau rekod yang telah dibuat untuk kegunaan pihak lain. Terdapat ratusan sumber sekunder dalam pasaran yang boleh dirujuk bagi mengenalpasti idea perniagaan.

Idea perniagaan daripada sumber ini boleh diperolehi dengan merujuk rekod-rekod dalaman syarikat, badan-badan kerajaan dan lain-lain sumber luar seperti kajian perpustakaan, internet dan sebagainya. Contoh bahan-bahan yang boleh dirujuk di perpustakaan adalah buku, penerbitan perniagaan, jurnal, majalah, kajian-kajian ilmiah dan lain-lain. Dalam era ICT , teknologi maklumat dan komunikasi, internet menjadi semakin penting untuk dirujuk bagi mendapatkan idea perniagaan.