BAB 3- TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI

OBJEKTIF AM :

Membolehkan pelajar mengetahui kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam keusahawanan.

OBJEKTIF KHUSUS : Di akhir unit ini, pelajar akan dapat :


 Membincangkan kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi dalam keusahawanan (ICT)
 Mengaplikasikan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam keusahawanan

3.1 TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI


Pengenalan

Cuba anda jawab persoalan-persoalan di bawah ini:
Apakah yang dimaksudkan dengan teknologi maklumat dan komunikasi? Adakah usahawan perlukan teknologi ini? Dan bagaimanakah kemudahan teknologi maklumat boleh digunakan oleh usahawan?

Maksud Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Teknologi maklumat dan komunikasi atau lebih dikenali sebagai ICT (Information and Communication Technology) adalah satu set komponen yang saling berhubungan yang boleh mengumpul, memproses, menyimpan dan mengagihkan maklumat.

Dalam ICT, terdapat tiga aktiviti iaitu input, pemprosesan dan output. Input adalah data mentah dari dalam atau persekitaran organisasi. Pemprosesan berlaku apabila input mentah ini ditukar ke bentuk yang lebih bermakna kepada organisasi dan output ialah apabila data yang diproses dipindahkan kepada manusia atau individu lain yang memerlukannya.

Kepentingan ICT kepada usahawan

Berikut adalah beberapa kepentingan ICT kepada usahawan

• ICT boleh menarik jumlah pelanggan yang besar dari seluruh dunia. Ini hanya berlaku sekiranya syarikat membangunkan laman webnya dalam internet yang boleh dilayari oleh berjuta orang dari seluruh pelusuk dunia.

• Melalui ICT, syarikat dapat ‘dilawati’ untuk masa yang panjang; iaitu 24 jam sehari dan 7 hari seminggu untuk sepanjang tahun, tanpa sebarang masalah perbezaan zon masa.

• ICT dapat memberi gambaran dan imej syarikat yang kukuh (well-established) kerana pelanggan dapat berkomunikasi dengan syarikat tanpa perlu melihat lokasi fizikal syarikat. Imej syarikat yang kukuh ini penting untuk mendapat keyakinan pelanggan berurusan dengan syarikat.

• Syarikat dapat menjimatkan pelbagai kos pengurusan. Kos mengurus seperti bayaran bil telefon, kos perjalanan dan lain-lain kos pengurusan dapat dikurangkan kerana penggunaan kemudahan internet jauh lebih rendah daripada kos perbelanjaan secara tradisional.

• ICT dapat membantu usahawan menyebarkan maklumat perniagaan untuk kegunaan organisasi dan pihak luar seperti pelanggan dan orang ramai dengan lebih berkesan dan perbelanjaan yang lebih murah dan pantas daripada kaedah tradisional.

• Syarikat dapat menjimatkan ruang menyimpan fail. Dengan menyimpan maklumat syarikat dalam sistem maklumat secara sistematik, ruang simpanan fail di pejabat dapat dikurangkan.