BAB 5-PEMILIHAN IDEA

OBJEKTIF AM :

Membolehkan pelajar memilih idea perniagaan yang paling sesuai dengan diri


OBJEKTIF KHUSUS : Di akhir unit ini, pelajar akan dapat :

 Menyenarai dan memilih keserasian idea perniagaan dengan diri
 Mengenal pasti daya kemungkinan idea di peringkat awal
 Memilih idea perniagaan yang paling sesuai


5.0 Pengenalan

Dalam memilih peluang-peluang perniagaan, anda harus membuat satu penilaian kendiri sebelum membuat komitmen. Penilaian kendiri ini perlulah berdasarkan kepada pengalaman, pengetahuan, kemahiran, kemampuan kewangan dan minat.


5.1 Memilih idea perniagaan


5.1.1 Menilai keserasian idea dengan diri: pengalaman, pengetahuan dan kemahiran, modal dan minat

a)Pengalaman yang dimiliki

Biasanya, seseorang usahawan itu menjalankan perniagaan yang sesuai dengan pengalaman yang dimiliki terutamanya berkaitan dengan pengalaman kerjaya. Sebagai contoh seorang guru sekolah rendah yang mempunyai pengalaman luas mengenai pendidikan awal kanak-kanak meletakkan jawatan dan menceburi dalam bidang yang hampir sama dengan kerjayanya yang sebelum ini, iaitu membuka sebuah taman asuhan kanak-kanak. Begitu juga dengan seorang tukang masak yang mempunyai kemahiran dalam masak memasak, boleh membuka sebuah kedai makan.


b)Pengetahuan

Selalunya pengalaman yang dimiliki seseorang tidak mencukupi untuk menjalankan perniagaan. Usahawan perlu melengkapkan dirinya dengan pengetahuan terutama dalam apa yang perlu dilakukan untuk perniagaan yang diceburi. Misalnya seorang pakar masakan, apabila membuka sebuah restoran, ia bukan sahaja perlu mengetahui tentang cara penyediaan makanan, tetapi juga cara menguruskan perniagaan, menyediakan akaun, mengatur jadual pekerja serta mengendali pelanggan. Walaupun diketahui ia boleh mengupah pekerja lain melakukan kerja untuk ia tetapi adalah lebih baik jika usahawan itu melakukan sendiri supaya ia dapat mengetahui segala perjalanan perniagaannya dan dengan itu tidak mudah ditipu.

c)Kemahiran

Selain dari pengalaman dan pengetahuan diri, ia mestilah kemahiran atau cekapan melakukan kerja dalam bidang yang dipilih. Kemahiran ini selalunya lahir dari pengalaman dan pengetahuan. Kelebihan ini adalah sesuatu yang sukar dimiliki. Contohnya, tukang ukir yang mahir dapat menghasilkan ciptaannya dalam tempoh yang singkat dan bermutu tinggi. Kemahiran merupakan aset yang sangat penting kerana tidak semua orang memiliki kelebihan ini.

d)Kemampuan modal

Kemampuan modal seseorang usahawan menentukan sebesar mana perniagaan itu boleh dijalankan. Dalam erti kata lain, perniagaan yang hendak dibuka perlulah sesuai dengan kemampuan kewangan yang ada. Sekiranya seseorang itu mempunyai impian untuk membuka perniagaan besar dan memerlukan modal yang berjumlah jutaan ringgit, mungkin keinginan itu terpaksa dipendamkan dahulu sekiranya ketiadaan modal yang mencukupi. Oleh itu modal adalah perkara-perkara asas yang perlu difikirkan sebelum meneruskan idea untuk membuka sesebuah perniagaan. Walau bagaimanapun sekiranya kemampuan modal itu terhad, seseorang bolehlah membuka perniagaan secara kecil-kecilan dengan menggunakan sumber modal yang sedia ada. Dia mestilah bersabar dan terus berusaha dengan lebih lagi demi cita-citanya. Ramai usahawan yang berjaya bermula dari usaha secara kecil-kecilan. Usaha yang begini selalunya lebih berhasil kerana berpeluang melihat kelemahan dan kelebihan yang dihadapi semasa menjalankan perniagaan tersebut. Ketiadaan modal yang mencukupi bukanlah penghalang untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

e)Minat

Ramai usahawan terutamanya golongan muda, mula menceburi dalam dunia perniagaan disebabkan oleh minat. Minat adalah sesuatu perkara yang harus diambil kira secara serius kerana minat dapat memberi keyakinan dan rasa tanggungjawab yang lebih ke atas perniagaan yang akan dimajukan. Oleh kerana minat, seseorang itu akan menumpukan perhatian sepenuhnya di dalam kerjanya. Ia akan berkerja lebih masa semata-mata kerana minat.

5.1.2 Menilai penerimaan masyarakat

Keserasian idea dengan nilai masyarakat setempat perlu diberi perhatian yang serius sebelum memulakan operasi perniagaan. Peluang perniagaan perlu diselaraskan supaya tidak bertentangan dengan nilai masyarakat setempat. Contohnya, disko dan tempat perjudian yang dibuka di kampung Melayu adalah bertentangan dengan nilai masyarakat Melayu yang beragama Islam. Idea ini tidak sesuai dijalankan walupun ia sah dari segi undang-undang.